Friday, November 6, 2009

ucapan yang terlewat..

Baru sahaja melewati dinihari, hamba dan teman berbincang akan impak blog hamba padanya. Sengaja ingin mengetahui sejauh manakah kesannya. Hamba gusar jua, jika tulisan-tulisan selama ini hanyalah menjadi canaian fikiran yang rendah ilmunya. Bimbang jua, selama ini telah mengguris perasaan sesiapa. Setiap entri, hamba cuba jadikan lebih baik daripada yang sedia ada.

Dibandingkan setiap entri, entri ucapan hari lahir telah menyentuh hati teman hamba ini. Akan tetapi, hamba tidak pula berbuat demikian untuk hari lahirnya pada tahun ini. Maafkan hamba, bukanlah hamba terlupa, masakan bisa lupa, permulaan hari, wajahnya sudah mengisi ruang pandangan hamba.

Cuma, kekeringan idea dalam mengisi catatan mengucap hari lahir tuan hamba. Buntu, apakah rentetan ayat yang lebih baik untuk disampaikan. Asakan imaginasi keputusan semester lepas lebih membenakkan lagi minda dalam mencari ilham.

"Melalui naluri semata-mata tidak membolehkan manusia mencapai sesuatu yang tidak dapat dilihatnya." (Majalah Solusi, Jalan Yang Lurus, m/s 10, isu 7).

Oleh yang demikian, hamba memerlukan ilham yang datang daripada-Nya. Kerna Dia jualah yang dipohon oleh semua insan di dunia ini. Digambarkan di dalam Surah Al-Fatihah, ayat ke-6:

"Bimbinglah kami ke jalan yang lurus."

Berbalik pada apa yang diutarakan di atas, terimalah kata-kata di bawah ini, Rajukan gombal usah dilayan ya, hamba gagap menutur kata pujukan... =)

Selamat ulangtahun sahabat,

Kondensasi masa selepas wujudnya sejukan detik-detik bermulanya persahabatan, hamba bekukan dengan usikan. Usikan yang bertujuan menimbulkan urat senyuman di wajah kita.

Perjalanan kita bersama di sini akan tamat kelak, namun hamba cuba hias seindah mungkin dengan kenangan-kenangan manis, agar persengkataan yang pernah berlaku dibiarkan berlalu.

Larutkanlah segala-galanya dalam air kemaafan yang bisa menjadi penawar hati. Ceriakanlah dengan semua jenaka pernah direka. Meskipun bersifat sementara, hakikatnya hidup kita di dunia ini hanya sementara.

Cekerama kita bakal selesai, hanya memori berparut di akal. Mohon jangan diluputkan dengan amarah menyala. Tetapkanlah genggaman dengan nilai persahabatan kita jika itu masih bernilai...

Pintalan salah faham, hamba hanya lepaskan di musim panas ini. Golakan pintalan awan itu ditolak jauh bila datangnya musim sonata menggamit jiwa.

Lantaran nyawa ini bukanlah kekal selamanya, akan selesai denyutannya kelak. Riwayat hamba akan berakhir di situ. Tinggal sejarah hamba. Hanya dipinta setelus ikhlas, sepotong doa walau jasad ini mereput dimakan waktu....

Wassalam...

p/s: harus bagaimana ingin meraih penghargaan destinasi, sebelum menghargai perjalanan ini?

0 comments:




Kata adat banyak kiasan, ditunjuk ia tetapi bukan, bergulung pendek, panjang direntang, tidak faham kalau tidak direnungkan.

Setinggi-tinggi melenting, membumbung ke awang-awang, jatuhnya ke tanah jua, sehabis dahan dengan ranting, dikupas dan dikulit batang, sampai ke teras barulah nyata.

(dipetik daripada Ketupat Cinta: Musim Pertama, Faisal Tehrani)